Rahsia Tentera Kita Hebat Perang Di Gurun. Siapa Sangka Hebat Rupanya Tentera Kita Di Sana


RIYADH – Setelah mengasah kemahiran di dalam perang hutan, Malaysia bakal dapat pengetahuan bernilai di dalam perang gurun menerusi penglibatannya dalam latihan ketenteraan di utara Arab Saudi.




Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ancaman keselamatan sekarang ini boleh muncul di dalam pelbagai persekitaran dan keadaan.

“Kita perlu berupaya untuk bertindak di dalam pelbagai persekitaran seperti di gurun dan bandar, kedua-duanya yang kita belum masak lagi, kata Najib kepada wartawan Malaysia pada Rabu malam, mengakhiri lawatan kerja beliau ke Arab Saudi sejak 29 Februari lepas.

Beliau berkata keupayaan angkatan tentera Malaysia tertumpu kepada perang hutan sejak beberapa tahun dahulu.

Terdahulu pada siangnya Najib melawat sekumpulan angkatan tentera Malaysia yang terlibat di dalam latihan ketenteraan “Thunder of the North” di kawasan latihan Hafar Al Batin. Ia melibatkan 20 buah negara.

Najib berkata latihan ketenteraan itu sangat berguna, kerana ia akan menyumbang kepada peningkatan saling kendali ketenteraan dalam kalangan negara Islam.

“Kita mempunyai saling kendali dalam konteks Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) dan negara tertentu di ASEAN tetapi kita tidak ada kemampuan ini dalam kalangan negara Islam,” kata Perdana Menteri.

“Arab Saudi adalah sebuah negara yang penting kepada orang Islam, maka kita perlu menyokongnya dan salah satu cara ialah dengan menyertai latihan ketenteraan ini,”kata Najib.

Selain daripada sebagai satu isyarat jelas perpaduan dalam kalangan 19 negara Islam yang menyertainya dan Arab Saudi, ia juga merupakan satu platform untuk mengukuhkan perpaduan di dalam dunia Islam itu sendiri, kata beliau.

“Adalah penting untuk kita memastikan negara Islam yang bersependapat terus mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi dan menangani sebarang ancaman kepada dunia Islam,” katanya.

Najib dijadualkan berlepas dari Arab Saudi pagi Khamis. – BERNAM