Ampang: Walaupun sarat mengandung, seorang ibu muda sempat mengambil
dadah untuk melepaskan gian ketika menunggu hari bersalin sebelum
ditahan dalam satu operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jumaat
lalu.
Wanita berusia 19 tahun itu adalah antara empat wanita termasuk
seorang remaja berusia 14 tahun daripada 39 individu yang ditahan dalam
operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah Ampang bersama Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Relawan Malaysia (RELA).
Dia yang ditahan bersama seorang rakan selepas didapati positif dadah
jenis syabu mengaku terlebih sehari daripada tarikh sepatutnya dia
melahirkan anak.
Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Siti mengaku
mengambil dadah kerana terpengaruh dengan rakan, selain mahu melepaskan
perasaan bimbang ketika melahirkan anak nanti.
Menurutnya, walaupun mengetahui kemungkinan implikasi buruk yang
bakal ditanggung khususnya terhadap anak dikandung, dia gagal mengawal
diri daripada mengambil bahan larangan itu.